Thursday 12 January 2012

Watak Jai Dan Zikir Bawa Tuah Kepada Adi Putra



Bersandarkan dua watak yang menjadi kegilaan peminat hiburan tempatan, Jai dan Zikir, nama Adi Putra tercalon dalam dua kategori di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 25.

Pelakon itu dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon Drama Lelaki Popular.

“Syukur Alhamdulillah apabila filem KL Gangster dan drama Tentang Dhia telah memberikan satu impak yang besar untuk saya tahun ini. Fenomenanya cukup besar dan penerimaan peminat filem dan drama juga cukup hebat. Apabila jalan cerita yang baik dan dekat dengan penonton telah membuatkan beberapa pelakon filem dan drama itu tercalon pada tahun ini.” jelas hero kepada Nora Danish dalam drama Tentang Dhia.

Dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Adi Putra turut tercalon bersama dua lagi pelakon filem KL Gangster iaitu Aaron Aziz dan Syamsul Yusof.

Sementara dalam kategori Pelakon Drama Lelaki Popular, Adi akan bersaing dengan Aaron Aziz, Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz dan pemenang tahun lalu, Remy Ishak.

Menilik peluang artis yang bakal memenangi kategori utama, Bintang Paling Popular, Adi akui agak sukar untuknya membuat pilihan.

“Kalau dua tahun lalu pengaruh Shaheizy Sam cukup besar, namun untuk tahun 2011 agak sukar untuk diramal kerana peluang sama rata diperolehi oleh setiap artis. Bukan mahu menidakkan pengaruh sebahagian artis yang menjadi kegemaran peminat, tetapi saya melihat pada tahun ini terlalu banyak drama dan filem yang telah mencetuskan fenomena. Untuk itu saya rasakan peluang adalah sama rata.” ujar pelakon itu yang hadir dengan fesyen rambut terbarunya dalam filem prekuel KL Gangster.

Anugerah Bintang Popular bakal berlangsung pada 8 April depan di Genting Highlands.

No comments:

Post a Comment