Tuesday 10 January 2012

Zizan Sebak Tengok Jue Menangis



“Saya menangis sebab Jue antara rakan yang paling rapat dengan saya.” Begitulah jawapan pengacara, pelakon serta pelawak, Zizan Razak ketika diajukan soalan mengapa dia menangis semasa menghantar pelakon cantik, Juliana Evans di KLIA, minggu lalu.

“Sedih la bila orang yang rapat dengan kita tak ada. Mula-mula saya tahan, tapi bila tengok kawan-kawan dia menangis, ‘aura’ sedih tu pun datang. Kemudian, bila tengok dia juga menangis, saya pun mula menangis. Habislah titis air mata seorang pelawak,” ujar Zizan ketika ditemui pada sidang akhbar ‘Lawak Ke, Der?’ di Istana Budaya, petang semalam.

4 Januari lalu, Jue telah berangkat ke Amerika Syarikat bagi melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan komunikasi massa di Universiti Michigan. Walaupun pasangan dalam filem Hantu Bonceng dan Mael Lambong ini dilihat mesra sehingga pernah digosipkan bercinta sebelum ini, namun Zizan tetap memberitahu yang mereka berdua hanyalah sekadar teman rapat.

“Sejujurnya, saya memang tak pernah rasa macam ini. Saya memang ramai kawan perempuan tapi Jue antara yang paling rapat dengan saya. Saya selesa dengan dia sebab kami satu kepala. Malah, masa hantar Jue, saya rasa ia satu peluang yang baik kerana ini kali pertama saya dapat jumpa dengan ibunya.”

Apabila ditanya apakah pesanan yang diberikan kepada Jue ketika kali terakhir bertemu dengan Jue, jejaka berusia 28 tahun ini memberitahu, “Jue sanggup berjimat dengan mengumpul duit berlakon selama 2 tahun untuk menyambung pelajarannya.

“Jadi, saya pesan kepada dia suruh belajar bersungguh-sungguh dan jangan sia-siakan peluang yang dia impikan selama ini. Jue juga ada berpesan kepada saya agar jaga diri dan dia tak nak dengar benda buruk pasal saya sepanjang dia tak ada di sini.”

No comments:

Post a Comment